5 Petua dari House Husband Untuk Sediakan Hidangan di Bulan Ramadan dengan Pantas

5 petua dari House Husband untuk mudah dan cepatkan memasak hidangan untuk berbuka puasa... hehe... jangan sentap pula para ibu dan isteri ye apabila membaca tajuk artikel. Saya tahu anda pun hebat di dapur, tapi tak salah kot kalau saya nak kongsi pengetahuan, ilmu dan petua ini kepada semua, khusus untuk ibu-ibu dan para isteri yang bekerja; tetapi dalam masa yang sama mahu menyediakan hidangan sendiri untuk keluarga berbuka puasa dan juga sahur.

Saya fikir mungkin ada para ibu dan isteri yang sudah tahu akan lima petua ini. Tetapi, saya masih percaya ada di kalangan ibu dan isteri muda (termasuk isteri kedua, ketiga dan keempat) yang tidak mengetahui akan petua ini. Ianya bukanlah petua yang sempurna, tetapi saya nak cadangkan juga .. manalah tahu ia akan berikan manfaat di bulan Ramadan.

Kekangan paling hebat untuk para ibu dan isteri yang bekerja menyediakan hidangan berbuka puasa serta sahur ialah masa. Walaupun diberikan kebenaran untuk pulang dari bekerja lebih awal, namun masih ada para ibu dan isteri yang menghadapi masalah dan tidak sempat untuk segera menyediakan hidangan berbuka puasa. Dan ketika sahur pula, ada yang sudah bangun awal, namun gagal untuk sediakan masakan sempurna untuk keluarga.

5 Petua dari House Husband Untuk Sediakan Hidangan di Bulan Ramadan dengan Pantas

Maka, saya syorkan petua berikut sebagai strategi memastikan masa yang ada diperuntukkan untuk mudah, cepat menyediakan hidangan ketika di bulan puasa.

Beli Bahan Mentah Mengikut Rancangan Lauk Pauk Seminggu

Luangkan masa di waktu hujung minggu untuk membeli dan mendapatkan bahan mentah bagi penyediaan lauk-pauk selama seminggu. Anda boleh beli dua ekor ayam untuk masak samada sup, kari, masak kicap atau kurma dalam minggu tersebut. Sediakan bahan-bahan utama seperti serbuk kari, sup bunjut dan sebagainya berasaskan kepada rancangan lauk pauk anda.

Bahagi Ikut Menu, Dan Simpan Dalam Bekas

Bahan mentah seperti ikan, daging, ayam dan sebagainya .. bersihkan sebaik-baiknya dan bahagi mengikut keperluan menu. Simpankan ia di dalam bekas berasingan dan masukkan ke dalam peti ais. Dengan ini, anda hanya perlu keluarkan bahan mentah yang diperlukan sahaja untuk memasak, proses untuk nyahbeku juga akan jadi lebih cepat dan lebih mudah.

Sediakan Stok Untuk Menumis

Kebanyakan menu dan resepi masakan memerlukan anda untuk menumis. Sebagai langkah mempercepatkan proses menyediakan masakan dan hidangan di dalam bulan puasa, anda boleh sediakan terus bahan-bahan ini yang terdiri daripada Bawang Besar, Halia, Bawang Putih mahupun Cili Kisar di dalam bekas-bekas berlainan dan disimpan di dalam peti ais. Kisar semuanya, dan disimpan dengan sempuran. Ini akan menjimatkan masa anda untuk mengisar atau menumbuk bahan-bahan ini untuk menumis di dalam bulan puasa.

Buat Pes Untuk Masakan Khas

Ini langkah yang paling memudahkan anda untuk menyediakan hidangan di bulan puasa. Di waktu cuti hujung minggu, di mana masa terluang anda lebih banyak ... maka sediakan terus pes untuk masakan khas contohnya kari, kurma dan sebagainya. Ini bermaksud, anda terus sediakan bahan-bahan menumis ini dalam bentuk pes; dan simpan di dalam bekas dan terus ke dalam peti ais. Anda juga boleh beli pes-pes ini di kedai ... lagi mudah ... huhuhu. Contohnya pes untuk masakan kari .. anda tumis bahan-bahan untuk resepi kari termasuk juga dengan rempah ...tanpa memasukkan santan dan bahan mentah (ikan, daging, ayam) kemudian sejukkan di dalam sejuk beku peti ais.

Sejuk Beku Lauk Pauk

Ini part paling saya suka dan terpaling mudah ... hanya perlu panaskan sahaja lauk pauk yang telah tersedia dalam sejuk beku. Apa yang perlu dibuat ialah .. masak lauk pauk dalam jumlah yang besar - untuk lebih daripada dua kali makan dan simpan dalam bekas berbeza, kemudian sejuk bekukan. Bila nak makan, panaskan sahaja lauk tersebut ... tapi ... tiada jaminan daripada rasa dan ketahanan. Sesuai kalau anda nak makan kari ikan/daging/ayam selang dua tiga hari .. tak sesuai untuk dua tiga minggu .. hoho.

Ikutilah petua-petua atau strategi penyediaan makanan di atas untuk penyediaan hidangan berbuka puasa atau sahur dengan lebih pantas. Walaupun anda terpaksa berkompromi dengan kesegaran, namun in Sha Allah .. akan ada keberkatan untuk para ibu dan isteri yang berusaha menyediakan hidangan berbuka puasa untuk keluarga.

Dan pastikan buah Kurma atau Tamar sentiasa tersedia untuk dimakan di dalam rumah. Manalah tahu, walaupun dengan petua di atas, masih gagal juga; adalah menu sunnah ini untuk dijamah dan mendapat keberkatan untuk berpuasa di bulan Ramadan.

In Sha Allah.


{ 8 comments.. read them below or add one }

aeinna Musa aeinna Musa May 30, 2016
memang senang je memasak ni kalau kita betul2 plan kerja kita
Pokok Manggis Depan Rumah Pokok Manggis Depan Rumah May 31, 2016
Boleh cuba macam ni bila puasa nanti.
iffah hussin iffah hussin May 31, 2016
Untuk Isteri yang berkerja pon sangat berguna dapat mempercepatkan masakan di dapur bila dah ada pes.. bahan nak tumis sy plan nak buat juga mcm tu...
zulaikha ali zulaikha ali June 02, 2016
tip yang sangat baik. tq !
Akif Imtiyaz Akif Imtiyaz June 02, 2016
Wah banyak tips yang dikongsikan kat sini..boleh laa cuba nanti..

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact'. Terima kasih.