Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Sebuah lagi karya menarik dari sebuah novel akan diketengahkan menjadi sebuah drama. Dua watak utama dalam novel Tundukkan Playboy Itu iaitu Harraz dan Nurin bakal dibawakan oleh pelakon baru Hafidz Roshdi dan selebriti cantik Uqasha Senrose. Turut membintangi drama 30 episode ini ialah Alif Satar, Ridzuan Hashim, Mawar Rashid, Marisa Yasmin, Maria Farida, Navilya Husna, Ziha Salleh, Faradiella Mokhtar, Shaza, Faris Zoren, Nazmi Nordin, dan ramai lagi.


Saya difahamkan drama dari adaptasi novel Tundukkan Playboy Itu karya Anjell akan mengisi slot Akasia TV3. Drama terbitan A-Ten Alliance (M) Sdn Bhd ini mendapat sentuhan pengarah Keoi Hj Khalid dan skrip oleh Mufid Suhaimi. Ia akan ditayangkan mulai 17 Februari 2016 bagi menggantikan drama Cinta Si Wedding Planner.

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu
Buat mereka yang mungkin ingin tahu jalan cerita drama ini bersandarkan kepada novel yang ditulis oleh Anjell, mungkin anda boleh baca beberapa bab yang telah dikongsikan sendiri oleh penulis novel tersebut di blognya. Sebagai permulaan untuk tangkap leleh drama ini nanti, boleh baca prolog di bawah .. Prolog novel Tundukkan Playboy Itu.

Prolog Novel Tundukkan Playboy Itu

Senyap antara mereka. Nurin juga lebih selesa mendiamkan diri. Sejujurnya dia sendiri tak tahu nak cakap apa. Sebab pertemuan ini terjadi bukan sebab keinginannya. Semuanya sebab puan sri anggun di depannya sekarang ni yang heretnya ke mari.

Ada apa pulak la puan sri ni nak jumpa dia? Rasanya ni kali pertama mereka berdua berjumpa.

“Ehemm..” Nurin berdehem. Sebenarnya sebab dia rasa kurang selesa dengan pandangan Puan Sri Rosell yang pandang dia macam singa puasa sebulan. Tapi, sebab dia hormatkan Puan Sri Rosell yang lebih tua daripadanya, dia diamkan sahaja.

“Emm.. ada apa Puan Sri nak jumpa saya?” Akhirnya Nurin bersuara. Dibiarkan lama lagi kang, tak pasal-pasal jadi filem bisu untuk tontonan umum. Lagipun, kalau lama lagi, siapa nak bertanggungjawab kalau Rimau Lamborgh yang tak pernah kenyang kat atas sana mengamuk? Tak pasal-pasal kena tuduh ponteng lagi. Tak tahan rasanya telinga nak tahan suara yang tak pernah nak perlahan tu.

“Kamu ya Nurin Areesa?” serius Puan Sri Rosell memandang Nurin.

Nurin cuma angguk. Hai.. tadikan dah tanya? Kalau aku ni bukan Nurin, takdelah aku ikut dia sampai kafe mewah ni. Meskipun Nurin bekerja di Harraz Holdings, tapi ni la kali pertama jejakkan kaki kat kafe ni. Sebab kafe ni hanya untuk ahli keluarga, VIP dan ahli lembaga pengarah syarikat ni. Terima kasihlah, Puan Sri. Kalau bukan sebab Puan Sri, kempunan la saya nak rasa makanan kat kafe ni. Hanya mampu pandang pintu masuk je la.

“Hmm.. boleh tahan cantik kamu. Patutlah Tan Sri suka,” kata Puan Sri Rosell lagi. Wajahnya masih sama. Serius merenung Nurin.

Hai… lain macam pulak bunyi suara Puan Sri depan aku ni. Nurin rasa kurang senang. Jangan-jangan dia ingat aku dengan Tan Sri ada apa-apa tak? Kalau dia ingat aku ni perempuan simpanan Tan Sri, macam mana? Nak cari gaduh ke? Adoi.. Tak sanggup aku nak lawan dengan orang sebaya umi ni.

Puan Sri ni sama je la macam anaknya. Suka tuduh aku dengan Tan Sri ada apa-apa.

“Err.. Puan Sri! Saya dengan Tan Sri takde apa-apa. Dia cuma kawan ayah saya, Puan Sri. Puan Sri jangan salah faham pulak.” Nurin cepat-cepat jelaskan perkara sebenar sebelum dia kena libas dengan dengan handbag Gucci Puan Sri Rosell tu.

Puan Sri Rosell yang dengar terus letuskan ketawa. Buatkan Nurin sedikit pelik. La.. gelak pulak? Apa yang kelakar? Nurin tak faham. Ke dah reda dah kalau-kalau aku jadi madu dia?

Oit.. Nurin! Nak sangat jadi madu puan sri ni? Haish.. mintak simpang tiga, simpang empat, kalau ada simpang lima, simpang lima sikit la! Jadi mak tiri Rimau Lamborgh tu? Uish.. tak sanggup.. tak sanggup.

“Kenapa Puan Sri gelak?” soal Nurin.

“Kamu ni kelakarlah, Nurin. Patutlah Tan Sri suka sangat kat kamu.”

Erk? Dahi Nurin makin berlapis-lapis. Kalau letak dalam talam, dah boleh jadi kuih dahi berlapis kut! Pelik.. pelik.. Nurin sangat pelik dengan Puan Sri Rosell. Cara dia bercakap tadi, bukan main mesra bunyinya. Berbeza sungguh ayat terakhirnya sebelum ni dengan yang tadi meskipun ayatnya lebih kurang sama.

“Saya tak fahamlah, Puan Sri. Kenapa Puan Sri cakap macam tu? Kenapa Puan Sri nak jumpa saya? Saya ada kecilkan hati Puan Sri ke? Kalau ada, saya minta maaf banyak-banyak.”

Puan Sri Rosell cuma senyum. Kata-kata Nurin buatkan kasihnya makin jatuh pada anak gadis itu. Patutlah beria-ia suaminya memuji Nurin. Nurin cantiklah. Saya berkenanlah. Saya sayang Nurinlah. Hmm.. patutlah. Nurin memang macam yang suaminya cakap. Bila jumpa berdepan macam ni, lagilah dia bersetuju dengan kata-kata suaminya itu.

“Nurin takde salah apa-apa dengan Aunty. Nikan kali pertama kita jumpa.” Kali ni lembut Puan Sri Rosell berkata.

Nurin sedikit lega tapi masih tertanya-tanya niat sebenar Puan Sri Rosell nak jumpa dia.

“Habis tu, kenapa Puan Sri nak jumpa saya?”

“Panggil Aunty je, Nurin. Tak payah nak berpuan sri-puan sri dengan Aunty.” Nurin cuma diam bila ditegur sebegitu.

“Maaflah kalau Aunty dah kacau waktu kerja Nurin. Tapi, Aunty nak sangat-sangat jumpa Nurin. Uncle selalu puji Nurin. Buatkan Aunty nak jumpa Nurin. Nak tengok macam mana Nurin sampai-sampai Uncle Mukhriz selalu puji Nurin.”

Nurin rasa lain macam. Pasal Tan Sri Mukhriz lagi ke?
 
“Aunty.. saya dengan Tan Sri..”

“Aunty tahu yang Nurin dengan Uncle Mukhriz bukannya ada apa-apa. Nurin jangan salah faham pulak. Uncle Mukhriz selalu puji Nurin. Sukakan Nurin macam anaknya,” jelas Puan Sri Rosell.

Nurin malu sendiri. Ambik kau, Nurin! Ingat kau tu cantik sangat ke nak jadi skandal terhangat Malaysia? Uncle Mukhriz anggap kau macam anak je la. So, takdelah pelik sangat sebab Nurin pun anggap Tan Sri Mukhriz macam bapanya jugak.

Tapi.. kalau anggap anak tu, bukan ke macam anggap jadi isteri anak dia ke? Kalau isteri kepada anak dia tu, bukan ke macam isteri kepada…

Uih.. tak sanggup aku kalau jadi isteri Rimau Lamborgh tu. Meremang bulu roma. Mimpi pun dah ngeri, kalau jadi nyata memang tak sanggup nak hirup oksigen atas muka bumi ni kut! Ingatkan perangai tak boleh blah dia tu, rasa nak lempang-lempang je mamat tu kat situ jugak.

“Emm.. Nurin dah kerja dua bulan kat sini, kan? Macam mana? Okay tak?” soal Puan Sri Rosell lagi.

Soalan kali ni buatkan Nurin mengeluh. Sedih mengenangkan nasib hidup kat syarikat pelik anak saudara ajaib ni. Kalau tersenarai dalam Malaysia’s Book of Records, memang cun jugak. Tak sanggup nak kenangkan kesengsaraan sejak hari pertama bekerja lagi.

Nurin cuma senyum.

“Okay je Aunty.” Pendek Nurin balas. Kalau masih hidup lagi sekarang ni, kira okay la tu. Ya tak?

“Harraz macam mana?” Puan Sri Rosell melanjutkan soalannya.

Kali ni rasanya Nurin nak mengeluh panjang. Rasanya kalau ukur, mahu sama panjang dari Perlis ke Johor, redah banjaran Titiwangsa. Nak tahu kenapa panjang dan berat keluhannya? Meh nak cerita!

Harraz.. Ha.. semuanya sebab mamat nama Harraz tu la. Harraz Naufal nama pemilik syarikat gah ni. Namanya cantik. Maksudnya jugak cantik. Mukanya jugak cantik. Tapi, perangai, uih… tak sanggup den nak cerita. Cerita panjang-panjang nanti, rasanya boleh kut bukukan jadi koleksi kisah-kisah tauladan.

Sejak kenal lelaki bernama Harraz ni, hidup Nurin tak pernah aman. Harraz alias Rimau Lamborgh. Orang samalah tu. Rimau Lamborgh, nickname yang memang Nurin reka khas untuk mamat tu. Semuanya terhasil sebab suara Harraz yang asyik nak mengaum dua puluh empat jam tu. Yang Nurin rasa sama je bunyinya macam bunyi enjin Lamborghini merah kesayangan mamat tu yang mengaum. Amacam? Cun, kan? Memang first class dan sesuai dengan Harraz yang memang first class tu.

Rasanya takde satu pun perangai mamat tu yang boleh buat hati senang.. nak dibuat calon suami pun memang dah pangkah besar-besar macam orang nak mengundi dalam pilihan raya tu.

Tapi, depan mak Harraz, mana mungkin Nurin kutuk macam-macam. Mahu kena libas bebetul dengan Gucci tu? Sayang nyawa la wei..

“Emm.. macam tu je la, Aunty. Okay je.” Tu je yang mampu Nurin jawab.

“Girlfriends Harraz selalu datang sini ke?” selidik Puan Sri Rosell. Nurin sengih. Macam tahu-tahu je Puan Sri ni. Siap sss lagi lepas sebut girlfriends tu, memang dah tahu la tu yang anak dia memang pasang ramai perempuan. Alah.. anak dia. Mestilah dia tahu.
Uqasha Senrose - Pelakon Utama Drama Tundukkan Playboy Itu
Hari-hari, Puan Sri. Bukan setakat datang. Jadi gelanggang WWE pun pernah, Puan Sri. Ni.. muka ni. Dah kena lempang dah dengan salah sorang girlfriend anak Puan Sri tu. Huh.. ingatkan peristiwa yang baru terjadi tu, buatkan hati kembali panas. Free je aku kena lempang. Berpusing macam gasing kut dua round. Nasib baik tak senget mulut!

“Emm.. boleh dikatakan hari-hari, Aunty. Selalunya Encik Harraz bawak keluar makan.” Nurin jadi tukang report.

Bila ingat balik, menyesal pulak dia. Kenapalah mulut ni celopar sangat? Kalau Harraz tahu, mati Nurin dikerjakan rasanya. Mulut puaka mamat tu boleh tahan. Dah puaka, faham-fahamlah. Boleh kena gangguan jiwa kalau tak kuat!

“Malam? Malam dorang buat apa?” tanya Puan Sri Rosell lagi.

“Entah. Saya tak tahu, Aunty. Saya bukannya PA Encik Harraz. Maafkan saya,” balas Nurin balik.

Manalah dia tahu aktiviti malam lelaki itu. Dan dia pun malas nak ambil tahu. Buat habis masa dan tambah dosa dia je. Nurin rasa Puan Sri Rosell lebih maklum perangai anak bujang dia tu.

“Aunty bukannya apa, Nurin. Harraz tu perangai makin menjadi-jadi. Tambah-tambah lagi lepas dia duduk sorang. Lagilah dia bebas. Aunty dah penat dah nasihat dia. Tapi tak pernah nak dengar.” Puan Sri Rosell meluah rasa.

Dia mengeluh dalam-dalam. Apalah nasib dia punya anak macam Harraz tu? Dahlah Harraz tu satu-satunya anaknya. Pewaris tunggal segala kekayaan suaminya. Termasuk Harraz Holdings ni.

“Salah Aunty jugak terlalu manjakan dia. Terlalu ajar cara hidup barat. Kurang didikan agama. Last-last jadi macam ni la. Baru sekarang Aunty menyesal. Tapi menyesal pun takde gunanya dah. Harraz pun dah besar panjang. Dah boleh jadi suami orang dah pun. Aunty rasa sangat berdosa bila tengok maksiat demi maksiat yang Harraz lakukan. Dah berbuih dah mulut bagi nasihat. Tapi tak pernah jalan.”

“Tengok je dalam syarikat ni. Aunty sendiri malu nak mengaku ni syarikat anak Aunty. Macam-macam yang Harraz tetapkan dalam syarikat ni. Aunty bersyukur sangat-sangat sebab Nurin tak terikut-ikut syarat syarikat ni.”

Nurin senyum hambar. Kalau bukan sebab Tan Sri Mukhriz yang masuk campur, agaknya dah lama dah dia say goodbye pada syarikat ni. Mengarut-ngarut syaratnya dan rasanya hanya ada pada syarikat ni. Tapi, sebab itulah dia kena tuduh macam-macam oleh Harraz. Ada ke dia cakap Tan Sri Mukhriz bela aku sebab ada hubungan istimewa? Gila betul! Agaknya memang dia nak aku ni jadi mak tiri dia.

“Bilalah perangai Harraz nak berubah? Especially perangai playboy dia tu? Sampai bila, Nurin?”

Nurin cuma diam. Tak tahu nak cakap apa. Sekarang ni rasanya macam dia seorang kaunselor dan Puan Sri Rosell adalah clientnya. Alangkah bagusnya kalau dia ada pengetahuan sikit sebanyak pasal psikologi? Boleh jugak nak auta sesuatu untuk tenangkan hati Puan Sri Rosell.

Dan bila Puan Sri Rosell tengah emo macam ni, satu je ayat tipikal yang boleh diucap Nurin.

“Sabar, Aunty. Sabar.”

Puan Sri Rosell pandang Nurin lama-lama. Buatkan Nurin segan semacam.

“Nurin boleh tolong Aunty?” pinta Puan Sri Rosell tiba-tiba.

“Tolong apa, Aunty?”

“Nurin tahu sikap playboy Harraz, kan?”

Nurin angguk. Bukan dia je kot. Warga Harraz Holdings, tak pun warga Malaysia dah tahu kot.

“Tundukkan Harraz.”

“Hah?” Nurin terlopong. Apa dia? Tundukkan siapa?

“Tundukkan playboy itu.”

........

Baca Online Novel Tundukkan Playboy Itu

Drama adaptasi Novel Tundukkan Playboy Itu
Sambungan novel Tundukkan Playboy Itu karya Anjell ini boleh anda baca secara online menerusi pautan di bawah ini, anda boleh baca novel ini dari bab 1 hingga bab 25 termasuk 3 teaser khas yang diambil dari bab lain secara random.

Semoga dapat dimanfaatkan dan membaca novel terbaik daripada karya Anjell Homosapien ini. Tahniah kepada penulis kerana berjaya menghasilkan novel yang baik untuk dijadikan karya sebuah drama.


0 comment... add one now

Terima kasih kerana sudi tinggalkan komen. Komen anda adalah tanggungjawab anda. Jika anda dapati ada mana-mana link tidak berfungsi di dalam blog ini, sila beritahu saya ye.

Untuk peluang pengiklanan, sila email saya menerusi ruangan 'Contact'. Terima kasih.