Aidiladha 2015 yang Sadis

Aduh. Memang sadis betul Hari Raya AidilAdha 2015 kali ini. Inilah pertama kali dalam sejarah ingatan berhari raya saya, di pagi raya tak ada juadah raya yang boleh dimakan. Maka, nak tak nak terpaksalah mencari restoran dan kedai makan di pagi raya. Dan malangnya .... mana nak ada semua tu di pagi raya. Restoran mamak pun tutup lagi .... adeh.

Ya,  begitulah halnya apa yang dialami oleh saya dan keluarga sebelah isteri. Segalanya disebabkan terperangkap dalam jem ketika pulang dari Kuala Lumpur di malam raya Aidiladha 2015.

Aidiladha 2015 yang sadis

Tahun ini, kalau ikutkan plan asal, saya dan anak-anak akan berhari raya di Kuala Lumpur bersama isteri dan ibu saya. Isteri saya tinggal di Putrajaya, manakala ibu saya pula berada di Pandan Indah, iaitu rumah adik saya yang bekerja sebagai anggota polis trafik. Kalau tidak sebab mereka ini ada di ibukota, memang akan beraya di Perak setiap kali raya.

Tapi, tiba-tiba sahaja ibu saya memberitahu bahawa Aidiladha 2015 kali ni akan beraya di kampung, iaitu di Batu Gajah, Perak. Tahun sebelumnya, memang beraya di Kuala Lumpur. Jadi, plan asal terpaksa diubah, dan saya serta isteri sepakat berhari raya di kampung.

Bertolak selepas jam 8 malam dari Kuala Lumpur, sambil tumpangkan abang ipar yang tinggal di Segambut.

Terperangkap Dalam Jem PLUS

Perjalanan yang sepatutnya berakhir di Parit, Perak jam 11 malam (kalau ikut kebiasan) berlanjutan menjadi jam 3:00 pagi. Semua orang dah letih, nak tak nak, plan nak memasak rendang segala bagai ... memang tidak termampulah nak dibuat.

Misi Mengisi Perut Lapar di Pagi Aidiladha

Oleh kerana itu, awal pagi selepas sholat Aidiladha, kami sekeluarga keluarlah rumah mencari sesuap makanan. Sadis. Memang tak ada kedai makan yang buka. Dari pekan Parit, kami lajak ke Seri Iskandar yang jaraknya kira-kira 15km, semata-mata nak mengisi perut lapar.

Pusing punya pusing, nampaknya tiada satu kedai atau restoran pun yang buka di pagi raya Aidiladha. Target asal ialah restoran nasi kandar yang banyak terdapat di Seri Iskandar. Tapi itulah, hampir 20 minit juga berlegar-legar mencari restoran yang buka.

Yang ada hanyalah restoran Mc Donald's yang sememangnya anak-anak saya anti nak makan... huhuhu. Kalau nak tahu, anak-anak saya dah boikot Mc Donald's ni sejak 3-4 tahun yang lalu. Pernah masuk dan beli, tapi hanya untuk dapatkan mainan yang ada. Duduk dalam restoran dan makan, memang taklah ... bagus kan anak-anak saya ni? Huhuhu .. semua dengar cakap ustaz dan ustazah mereka .. lalala.
Aidiladha 2015 yang sadis
Alhamdulillah, lebih kurang jam 10:00 pagi, kami dapati restoran 'take-away' atau delivery Pizza Hut telah dibuka. Maka, dengan berpakaian serba lengkap hari raya ... kami pun masuklah dan pesan makanan yang ada.

Haha. Pizza Hut dan KFC, anak-anak saya tak masukkan dalam senarai restoran makanan segera yang mereka boikot. Lagipun, dua restoran makanan segera ni tidak hidangkan air Coca-Cola yang merupakan salah satu jenama yang anak-anak saya tak suka .. huhuhu.

Kalau anda tengok gambar yang saya sediakan, anda akan nampak tak ada pinggan disediakan. Mana taknya, Pizza Hut ni adalah sebuah restoran kecil yang hanya ada 2 orang pekerja sahaja (ketika itu). Dan ianya memang dikhaskan untuk pelanggan untuk take-away atau delivery.

Maka, berhari rayalah kami di Pizza Hut. Sadis tak?

Ada pengalaman serupa? Kongsi cerita ringkas anda di ruangan komen ye.