Panduan Berpuasa Pesakit Kencing Manis

Panduan berpuasa untuk mereka yang mengidap penyakit kencing manis, adalah satu panduan serius kena ikuti oleh pesakit kencing manis. Jangan ambil mudah, kerana jika salah pemakanan, seseorang yang ada penyakit ini boleh menghadapi masalah hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi. Malah, dalam sesetengah kes, jika tidak ditanggani boleh menyebabkan pesakit pengsan dan koma!

Terma hipoglisemia, hiperglisemia atau dehidrasi tentu ramai yang tidak tahu. Jadi, saya ringkaskan di bawah ini untuk lebih pemahaman.

  • Hipoglisemia - keadaan di mana pesakit menghadapai masalah paras gula dalam darah terlalu rendah
  • Hiperglisemia - keadaaan pesakit yang ada paras gula terlalu tinggi
  • Dehidrasi - pesakit kencing manis kekurangan air di dalam tubuh badan.

Panduan Berpuasa Ramadan Buat Pesakit Kencing Manis

Sejak saya disahkan hadapi penyakit Kencing Manis dengan bacaan antara 10-12mmol/L; saya perlu berhati-hati dengan apa yang saya makan dan mahu makan. Nasib baik saya ada isteri yang agak arif bab-bab ini, dan nyata sangat prihatin dengan makanan yang saya ambil dan perlu ambil.

Kadar Kandungan GulaTahap
Dari 70 – 99 mg/dL (3.9 – 5.5 mmol/L)Normal
Dari 100 – 125 mg/dL (5.6 – 6.9 mmol/L)Berisiko untuk mendapat diabetes
126 mg/dL (7.0 mmol/L) dan ke atasDiabetes

Buat masa ini, saya masih lagi bebas dari pengambilan ubat berkaitan kencing manis. Saya telah memohon untuk melakukan pengubahsuai cara hidup dan cara pemakanan saya. Tempoh 6 bulan diberikan kepada saya untuk menunjukkan perubahan positif.

[Ads] Tips Untuk Jaga Pemakanan Dengan Aplikasi Online FoodBits

Ada kata orang yang mempunyai penyakit kencing manis tidak perlu berpuasa, disebabkan oleh risiko-risiko yang saya sebutkan di awal tadi. Tapi, saya fikir dengan cara berpuasa, seorang pesakit itu boleh kawal dengan baik kandungan gula dalam darah, lantas membolehkannya bebas dari belenggu penyakit ini.

Contoh Menu Diet Pesakit Kencing Manis Ketika Ramadan

Apa yang perlu saya buat ialah melaksanakan panduan berpuasa untuk pesakit kencing manis. Saya telah dapatkan satu contoh diet atau panduan pemakanan yang disyorkan, seperti jadual di bawah.
Panduan Berpuasa Pesakit Kencing Manis

Waktu MakanContoh Menu
Berbuka puasa(7.30 malam)1 biji buah epal / 2 biji kurma
1 keping kuih tanpa gula
1 gelas susu
Selepas solat maghrib (8.00 malam)1 ½ cawan nasi / mi / mihun
1 ketul ayam / ikan
1 cawan sayur berdaun hijau
1 biji buah limau
Air kosong
Selepas tarawih/minum malam (10.30 malam)1 keping kuih tanpa gula /
3 keping biskut krim kraker /
1 keping roti
1 gelas susu
Sahur (5.00 pagi)1 ½ cawan nasi / mi / mihun
1 ketul ayam / ikan
1 cawan sayur berdaun hijau
1 potong betik

Kepada mereka yang senasib dan mempunyai adik-beradik, sedara-mara, jiran, atau kawan-kawan yang hadapi masalah ini, mungkin boleh jadikan panduan diet di atas sebagai rujukan.

Tips Berpuasa Pesakit Kencing Manis

Dan berikut beberapa tips untuk pesakit kencing manis semasa berpuasa.
  1. Jangan tinggal waktu bersahur.
    • Waktu bersahur perlulah selewat mungkin sebelum waktu imsak.
    • Ketika bersahur perlu seimbangkan makanan dengan karbohidrat yang secukupnya.
  2. Jangan melambatkan waktu berbuka.
    • Memadai waktu berbuka dengan 2 biji kurma terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada karbohidrat.
    • Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula.
  3. Digalakkan mengambil hidangan utama selepas solat maghrib.
    • Perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang.
  4. Minum malam selepas solat tarawih.
    • Boleh diambil sebagai pengganti snek sebelum tidur.
  5. Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran ketika sahur dan berbuka.
    • Karbohidrat yang mengandungi serat yang tinggi adalah digalakkan untuk setiap hidangan utama.
  6. Hadkan makanan yang bergoreng dan berlemak.
    • Contohnya: Masakan berlemak yang menggunakan santan, ayam goreng, mi goreng dan lain-lain.
  7. Hadkan makanan yang tinggi garam.
    • Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kekurangan air.
  8. Minum air secukupnya.
    • Minum air yang cukup terutamanya ketika sahur untuk menggantikan air yang hilang ketika berpuasa. Disarankan untuk mengambil 8 gelas air sehari terutama ketika masa tidak berpuasa (malam).
Apa yang diberikan ini hanyalah panduan asas, adalah lebih baik anda bertanya kepada doktor anda, kerana penyakit kencing manis adalah berbeza dengan individu, begitu juga dietnya. Ini disebabkan ada pesakit ini punyai penyakit lain juga, contohnya darah tinggi dan juga tahap kolesterol tinggi dalam tubuh.

Risiko Pesakit Kencing Manis yang Berpuasa Ramadan

Awal tadi, saya ada kongsikan mengenai 3 mudarat yang mungkin dihadapi oleh pesakit kencing manis jika berpuasa. Maka, untuk itu kena tahulah tanda-tanda awal terkena 3 mudarat tersebut. Bila ada tanda-tanda ini, maka dibolehkan untuk pesakit kencing manis berbuka puasa untuk mengelakkan lebih mudarat dan bahaya.

Tanda Hipoglisemia

  • Lemah, menggigil.
  • Berpeluh.
  • Pening.
  • Lapar.
  • Penglihatan Kabur.
  • Letih-lesu.
  • Sakit kepala.

Cara Atasi Hipoglisemia

  • Sekiranya mengalami tanda-tanda hipoglisemia, minum ½ cawan air manis atau hisap 3 biji gula-gula atau 3 sudu teh gula/madu.
  • Kemudian, rehat 10 hingga 15 minit. Jika paras gula darah tidak kembali paras normal, sila ulangi langkah 1 sekali lagi.
  • Jika jarak masa makan yang seterusnya adalah lebih dari 20 minit, sila ambil 1 hidangan karbohidrat kompleks seperti 1 keping roti atau 1 keping sandwich atau 3 keping biskut kraker krim atau 1 biji buah atau 1 cawan susu.

Tanda Hiperglisemia

  • Kerap buang air kecil.
  • Terlalu dahaga.
  • Sangat letih.

Tanda Dehidrasi

  • Amat dahaga.
  • Kulit dan lidah yang terlalu kering.
  • Fikiran terganggu.
Risiko-risiko yang saya sebutkan di atas hanya tinggi untuk pesakit yang mengambil ubat. Maka, seperti saya, risiko itu amat rendah, jadi memang tak ada makna nak cari alasan nak berbuka puasa atau tidak berpuasa. Cuma mungkin berdasarkan menu tadi, saya perlu bahagikan agar ia tidak melonjakkan paras gula dalam darah selepas berbuka.

[Ads] Ketahui Menu Sihat Untuk Kuruskan Badan Tanpa Berlapar

Kepada sesiapa sahaja yang mendapati diri mereka ada kandungan gula dalam darah yang tinggi, saya nasihatkan cuba mendapat pendapat dan bantuan doktor menerusi diet pemakanan dan cara hidup sebelum ambil keputusan menggunakan atau mengambil ubat seperti insulin.

Apabila anda dah mula ambil ubat, maka tubuh badan hanya akan respon dengan ubat je selepas itu, kalau tak ada ubat, risiko tinggi. Hidup pun bergantung dengan ubat sudahnya.

In Sha Allah, dengan sedikit perkongsian ini saya harap ada yang boleh memanfaatkannya.

Sumber dan rujukan: http://www.mmgazette.com/faulina-khamisan-puasa-diabetes/