As-Salam.
Sebuah kisah untuk diceritakan kepada anda, untuk kita renungkan. Tiada siapa yang dapat menjadi seorang insan yang sempurna. Apa yang boleh dilakukan adalah cuba perbaiki diri dengan kekuatan yang ada.
Ini Sebuah Cerita | Aku Mahu Mati
i.
Anak
muda itu kelihatan murung di tepi padang. Dia membungkam sepi. Salah
seorang daripada rakannya duduk di sebelahnya. Lalu dia bertanya,
"Mengapa kau kelihatan murung dan seakan tak mahu bersama kami bermain
di padang?". Anak muda itu tunduk dan tidak segera menjawab. Kemudian
dia membuang pandangannya ke arah langit yang terbentang luas.
"Entahlah, aku fikir, aku mahu mati!". Rakannya benar-benar tersentak
dan terdiam. Sejurus kemudian, dia tertawa kecil. "Apa kau fikir mudah
untuk mati? Kau fikir mati boleh dibeli dengan wang ringgit atau harta
keluargamu? Kau fikir mati itu seperti pisang goreng yang boleh dibeli
di kedai Mak Lijah ke? Dengan tikaman tepat sebuah belati ke jantungmu
juga belum tentu membawa kepada kematian!". Dia bingkas bangun dan
berlalu pergi meninggalkan rakannya keseorangan.
ii.
Sedang
bumi bermandikan matahari. Anak muda itu berlari mendapatkan ibunya di
dapur. "Ibu, aku mahu mati!", ujar anak muda itu. Ibunya diam dan
merenung tepat ke arah mata anaknya. "Benar kau mahu mati?" tanya
ibunya. Anak muda itu menganggukkan kepalanya. Ibunya bertanya lagi,
"Selepas kau mati, ke mana mahu kau pergi? Dan di mana dan dengan siapa
mahu kau tinggal? Dan apa yang mahu kau buat waktu itu?. Anak itu
terpingga-pingga mendengarkan pertanyaan ibunya. Ibunya tersenyum dan
mengusap-usap kepala anaknya lalu diciumnya beberapa kali. Satu bisikan
ibu tertancap ke hatinya, "Ibu mengerti, kau sedang mencari sesuatu yang
belum tertunai. Fikirkan dan selidiki. Ibu tidak mampu memberi
kesempurnaan dalam erti pencarian. Masuklah ke dalam dirimu. Kau akan
ketemui sesuatu yang sangat berharga".
iii.
Seminggu
selepas itu, anak muda itu ditemui mati dengan belati yang tepat
menikam ke arah jantungnya. Dia mati sambil mengenggam nota yang
berdarah. "Maafkan aku ibu dan ayah. Maafkan aku juga sahabat. Ini bukan
kehendakku. Tanganku yang menikam diriku dengan belati ini. Bukan juga
atas kemahuanku. Aku sekadar patuh pada ketentuan dan pada guruku yang
sentiasa berpesan serta menasihati muridnya agar sentiasa memenuhi
impian peribadi. Jika tiada dapat dipenuhi, maka kamu akan menemui
kegagalan.Dari dahulu, aku mempunyai impian. Aku sangat ingin memiliki
bulan. Aku tidak pernah menyebutnya di hadapan ibu mahupun ayah. Apatah
lagi terhadap guru dan yang akrab. Lalu aku berusaha menjolok bulan
setiap malam agar ia gugur ke pangkuanku. Aku cemburu melihat bulan
menjadi pujaan setiap manusia, para kekasih dan si pungguk. Sepatutnya
bulan itu menjadi milikku. Aku mahu bulan itu sentiasa milikku. Nyata,
aku temui kegagalan pada setiap usahaku. Oleh itu, aku mahu mati.
Maafkan aku".
Sumber: Pondok Bicara


















































